Monday, March 26, 2012

IMPAK MENGGUNAKAN TEKNIK PUJIAN : KELAS 3 AYUB

Pada artikel saya yang lepas iaitu , ' MASA YANG MENGUJI KESABARANKU ' , saya telah menceritakan suasana di dalam kelas 3 Ayub. Hari ini saya masuk kekelas 3 Ayub lagi. Sememangnya perasaan saya berdebar-debar dan bermacam-macam gambaran yang bermain di minda saya , sebelum memasuki kelas 3 Ayub ini.

Saya melangkah menuju kekelas 3 Ayub. Beberapa langkah perjalanan saya sebelum memasuki kelas 3 Ayub, sudah ada pelajar yang menunggu di luar kelas. Menanti muallim/ muallimah manakah yang akan ganti masuk ke kelas mereka mungkin. "Muallimah.......datang ! ". Begitulah yang mereka katakan . Sebutan muallimah itu panjang , untuk memastikan mereka tidak tersilap meneka mungkin.

Seperti biasa, keriuhan memenuhi ruang kelas. Pelajar berjalan kesana-sini. Apa sebenarnya yang mereka cari, saya tidak tahu. Mencari kawan-kawan bermain barangkali. Tidak lama kemudian, Syuaib (ketua kelas)bertanya saya, "bagi salam ke muallimah ? " . Saya angguk saja. Sebenarnya saya kagum dengan sikap Syuaib ini. Walaupun saya pernah menceritakan perangainya yang sama suka bermain seperti kawan-kawannya, namun suaranya yang kuat dan selalu menarik kawannya ke tempat duduk jika mereka masih berkeliaran, sedikit sebanyak membantu saya. Dalam dirinya ada merasakan tanggungjawabnya sebagai ketua kelas, namun saya perhatikan caranya agak kasar dengan kawan-kawan kelasnya. Contohnya dengan menarik ke tempat duduk dan menjerit pada mereka.

Saya berfikir-fikir apa yang boleh saya buat di dalam kelas ini , sebelum masuk ke dalam kelas. Dana Allah mengilhamkan kepada saya untuk menyanyikan 'feel mudoriq' , seperti yang saya buat di dalam semua kelas Bahasa Arab yang saya ajar. Sebenarnya dengan menyanyi, dapat elakkan kebosanan kepada pelajar disamping dapat meransang otak kanan. Dimana otak kanan kita lebih terdorong ke arah muzik.

Untuk maklumat, kajian menunjukkan bahawa EQ (dari otak kanan) perlulah melebihi IQ ( otak kiri). Ini kerana pelajar yang memiliki IQ yang tinggi namun rendah EQnya, boleh menimbulkan gangguan emosinya padanya. Contohnya , Raju merupakan seorang pelajar yang terkenal dengan kepandaiannya. Setiap peperiksaannya pasti cemerlang. Namun ditakdirkan ketika UPSR, dia mendapat 4A 1 B. Kerana kecewa dengan keputusan UPSRnya, dia membunuh diri. Nah ! maknanya disini, EQ( Emotional Q. ) perlulah dapat menguasai IQ ( Intelligent Q. )

Berbalik pada kelas 3 Ayub. Saya menulis di papan putih , pelajaran yang akan kami nyanyikan .Ada yang tunjukkan minat dan ada yang tidak. Kebanyakannya pelajar perempuan yang menunjukkan kecenderungan mereka untuk menyanyi. Mereka datang ke hdapan, mendengar irama lagu saya dan perlahan - lahan belajar mengikutinya. " muallimah, tak dapat lagi la ! ". Itu yang mereka katakan pada saya setelah mengulanginya sebanyak 2-3 kali. Saya beritahu mereka , " muallimah suka lihat kamu berusaha untuk belajar." Saya menyatakan pujian, terkedu sebenarnya untuk menyatakan impaknya. Dan ! saya perlu belajar untuk lebih mahir.

Selain itu, saya sebenarnya tercari-cari, apa yang saya patut buat untuk menarik perhatian ' pelajar2 buas' ini. Untuk maklumat, saya bawa kertas kosong supaya mereka dapat menyalin pelajaran yang saya tulis, jadinya berhasil pada pelqjar yang mengikut kata.

Alhamdulillah !! di saat-saat ' genting 'itu, Allah mengilhamkan sesuatu kepada saya. Spontan saya bertanya , "kamu reti buat origami tak? ". "saya tak pandai muallimah, tapi Azzam pandai ". jawab seorang murid yang saya tidak pasti namanya. Jadi, berbekalkan lebihan kertas putih yang ada pada saya, saya bahagikan kepada 'geng buas' ini. Alhamdulillah, kami pun memulakan 'projek seni ' kami di meja guru dengan jumlah lebih kurang 7 orang pelajar lelaki. Azzam mengetuai 'projek seni' kami, kerana dia lebih mahir dalam origami.
'Geng buas' , saya lihat berlumba-lumba ingin belajar dari Azzam dan Hadi cara membuat burung , naga dan dinosur. Selalu keluar perkataan, " macamana Azzam ? " dan "pastu-pastu?!" . Saya pun tidak melepaskan peluang belajar dari Azzam. Dia berdiri di sebelah saya, dan akan memerhatikan pergerakan saya membuat origami,hehe..
Seronok kan, Azzam dan 'geng buas ?! ". Saya melihat sikap mereka yang berusaha mempelajari benda baru dan akan bertanya jika tidak tahu.

Hasil seni yang boleh dibanggakan. Ada 3 semua. Azzam punya, saya tanya " ni nak bagi muallimah ke , macammana?" . Kawan-kawan dia yang lain menyampuk , "bagi muallimah la ! ". Dapat la burung rekaan Azzam.


(Naga , burung dan dinosur hasil kreativiti ' geng buas ' 3 Ayub )






2orang pelajar sukarela menghadiahkan naga (dari Danish ) dan dinosur ( dari Hadi ) kepada saya. Mula- mula , kita cari perhatian mereka dulu. Alhamdulillah, kelas hari ini terkawal dan menyeronokkan. Beberapa minit selepas saya mengerling pada jam dinding, masa sudah hampir tamat. Sebelum keluar, saya berikan pujian pada mereka. " muallimah suka dengan pelajar kelas ini, berlumba hendak belajar, bertanya jika tak faham dan mengajarkan pada orang lain. " Sebelum sampai pada ayat terakhir saya (mengajarkan pada orang lain ) , Hadi pandang saya. Maknanya memang kenala pada dia kerana dia yang ajar kawan- kawannya. Habis saja ayat terakhir saya , dia mengangguk-anggukkan kepala. Kemudian saya pun berlalu dengan perasaan tenang sambil berlalu ke bilik guru.

Bila difikirkan kembali, apabila saya set dalam minda saya ' aku bagi kerja supaya mereka diam ' , dan kesannya merupakan gangguan psikologi kepada saya jika mereka masih belum diam '. Bukanlah salah mereka bukan . Seperti yang dikatakan Puan Ainon, bising semasa belajar bukanlah kesalahan.

~Ya Allah, dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W, permudahkanlah urusan kami di dunia dan akhirat. Amin. ~

2 comments:

khairulaniza said...

Tahniah ustazah atas usaha ustazah mengaplikasikan teknik mendorong mengikut teknik Nabi Muhammad.
Pada permulaannya memang begitu, kekadang kehilangan kata-kata dalam memuji terutama dalam menyatakan impaknya.
Ada masanya, ketika saya cuba mengaplikasikan teknik nabi, saya mereka-reka ayat dalam minda saya. Dalam kes murid ustazah,saya dapati ada beberapa kebaikan murid yang boleh dipuji dan telahpun ustazah puji.Alhamdulillah! Sekadar berkongsi dan mencadangkan kata-kata pujian...
Contoh 1 - Ustazah ada menulis, "Sebenarnya saya kagum dengan sikap Syuaib ini...suaranya yang kuat dan selalu menarik kawannya ke tempat "
Pujian tersebut boleh diluahkan kepada murid tersebut. Kata-kata pujian yang boleh diberi ialah seperti :-
" Shuib, saya kagum dengan kemampuan kamu bersuara kuat dan jelas. (puji kebaikan). Kamu mampu menarik perhatian rakan-rakan untuk sama-sama memberi salam kepada muallimah (pujian) Saya suka. (impak) Kamu berpotensi menjadi pemimpin pada masa akan datang(impak)
Contoh 2 -muallimah suka dengan pelajar kelas ini, berlumba hendak belajar, bertanya jika tak faham dan mengajarkan pada orang lain.
Pujian lain yang boleh juga dibuat misalnya, " Hadi, kamu mengajarkan ilmu membuat origami kepada rakan-rakan (pujian). Allah memberikan pahala berlipat kali ganda kepada mereka yang menyampaikan ilmu kepada orang lain (impak)
Teruskan usaha ustazah menggunakan teknik nabi Muhammad dan teruskan berkongsi ilmu kerana saya juga mempelajari sesuatu daripada tulisan ustazah.

Puan Ainon Mohd. said...

Teknik Nabi memuji yang cikpuan gunakan ini betul:

1. Apabila hendak mengurus tingkah laku SEMUA pelajar dalam kelas, ayat pujian diberikan kepada SEMUA pelajar. Ayat "Muallimah suka dengan pelajar kelas ini, berlumba hendak belajar, bertanya jika tidak faham dan mengajarkan pada orang lain." ini adalah ayat yang ditujukan kepada SEMUA murid di dalam kelas, bukan kepada Azzam seorang.

2. Apabila pujian ditujukan kepada SEMUA maka kesannya nanti SEMUA akan terdorong melakukan perkara yang dipuji.

3. Teknik melaporkan cikpuan semakin kemas, semakin lancar dibaca.

4. Saya belum mengiklankan blog cikpuan sebab belum berapa kemas.

5. Saya tidak mahu peminat FB saya mendapat kesan blog puan tidak menarik.

6. Saya mahu iklankan apabila bahasa cikpuan sudah sedap dibaca, jadi kesan pertama kali mereka membaca akan sangat positif. Itu akan mendorong mereka suka mem-bookmark blog cikpuan ini, dan tertunggu-tunggu laporan cikpuan seterusnya...

7. Saiz paparan blog cikpuan ini sangat luas, ini menyebabkan proses membaca lebih sukar, dibandingkan dengan saiz paparan yang lebih kecil. Apabila saiz luas, kepala pembaca akan banyak menoleh ke kiri dan ke kanan...