Saturday, January 11, 2014

HAMKA : Falsafah Alam dalam Konteks Falsafah Ketuhanan



Dalam Islam, jika merujuk kepada al-Quran, didapati satu perlapan daripada keseluruhan ayatnya membicarakan tentang alam semula jadi ataupun alam tabii. Peranan penting alam tabii dari segi kehidupan rohaniah dan intelek juga meransang umatnya berusaha menghasilkan pelbagai bidang ilmu yang berkaitan dengannya (Hairudin Harun 2007: 143). Alam tabii mampu meransang manusia yang berkeinginan memahami kaedah ciptaan di sebaliknya dengan penuh mendalam. Ilmu yang dikaji bukanlah hanya ilmu sains dan teknologi sahaja, tetapi termasuklah ilmu yang menjadi panduan kehidupan mereka iaitu ilmu wahyu atau dikenali sebagai ilmu agama.

Alam mempunyai nilai falsafah ketuhanan kerana ia bukanlah dijadikan secara sia-sia. Meskipun begitu, walaupun alam diperakui memberikan manfaat yang banyak kepada umat manusia, tetapi adakah mereka memahami secara batinnya mengapa alam itu juga wajib dikekalkan kewujudannya? Melihat dari sudut agama, jawapan paling tepat adalah pelestarian alam bertujuan agar manusia sentiasa bersaksikan bahawa semuanya adalah ciptaan dan di bawah pentadbiran Tuhan. Gesaan ayat al-Quran sepertimana dalam surah al-Ghasyiah (88:17-20) merupakan antara tuntutan yang dimaksudkan:

Tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan?
Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya?
Dan keadaan gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan?
Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?

Hamka menegaskan, alam sekeliling telah mempengaruhi unsur-unsur ketuhanan dalam diri manusia. Walau bagaimanapun, semua itu hanyalah bagi mereka yang menyaksikan alam sekeliling dengan pancaindera masing-masing tetapi dengan satu syarat paling utama iaitu mereka sentiasa menggunakan akal fikiran mereka. Jelas sekali hubungan alam sekitar dengan falsafah ketuhanan menurut Hamka memberikan gambaran bagaimana alam adalah objek teramat penting yang perlu disaksikan oleh pancaindera dan akal manusia. Alam mempunyai sifat dan kelakuan yang bernilai termasuklah nilai keagungan, keajaiban, malah kegerunan (menakutkan) sehingga memberikan kesan mendalam dalam hati dan fikiran manusia untuk bertindak secara respon seperti pemujaan dan sembahyang. Ini telah disebutkan secara panjang lebar oleh Hamka:

Alam terbentang luas dan manusia hidup di dalamnya. Dengan pancaindera dan akal yang ada padanya, manusia dapat mempersaksikan Alam itu dalam segala sifat dan lakunya. Ada kebesaran, keajaiban dan keindahan, dan ada perubahan-perubahan yang tetap. Kehidupan manusia itu sendiri tidak dapat diceraikan dengan Alam itu. Maka yang mula-mula timbul pada manusia itu adalah perasaan bahawa ada sesuatu yang menguasai Alam ini. Dia yang mengatur dan yang menyusun perjalanannya. Dia yang menjadikan segalanya. Dia Yang Maha Kuasa atas setiap sesuatu yang ada. Kesan Pertama bahwa Ada Yang Maha Kuasa itu meratalah pada segenap manusia. Kerana kesan inilah yang tumbuh bilamana akalnya sudah mulai berjalan. . . Di zaman akal itu mulai bertumbuh (primitif), khayalnya akan Adanya yang Ada itu diberinya berupa, menjadi perlambang daripada perasaannya sendiri. Macam-macamlah perasaan yang timbul di sekeliling kesan tentang Yang Ada itu. Kadang-kadang timbullah takut padanya, dan kadang-kadang timbul pula rasa terharu melihat keindahan dan kebesaran bekas perbuatannya. Maka diadakanlah pemujaan kepada benda-benda yang seram. Kepada batu, pohon kayu seumpama beringin. Gunung atau nyatalah kelihatan bagaimana berkembangnya pemujaan kepada yang gaib itu menurut pengaruh keadaan hidup pada masa itu. Semasa kehidupan gua, disembahlah keseraman rimba dan kayu-kayan dan batu. Kemudian itu disembah gunung. Dan setelah hidup berpindah dari gua batu ke tepi sungai, disembahlah air yang mengalir, dipuja pasang naik dan pasang turun. Dan kadang-kadang disembah juga ikan. Dan di zaman perburuan dipujalah binatang-binatang yang dirasa ada hubungan dengan suku. Apabila kehidupan itu telah maju, dan telah pindah ke zaman bercucuk tanam, mulailah dirasa pertalian yang rapat di antara langit dan bumi, kerana kesuburan tumbuh-tumbuhan bertali dengan hujan dari langit. Maka mulailah mata menengadah ke langit. Di sanalah agaknya terletak rahasia Yang Maha Kuasa itu. . . Dan siang dan malam adalah timbul kerana perjalanan Matahari. . . maka timbullah prasangka bahwa Matahari pusatnya kekuasaan itu. . . kemudian itu terpikir pulalah bagaimana keindahan bulan purnama dan bagaimana pengaruhnya kepada tanaman-tanaman dan binatang ternak, dan bagaimana pula pengaruhnya kepada pasang naik dan pasang turun. Maka kepercayaan kepada Bulan . . . (Hamka 1979: 1-2).

Manusia telah mula berfikir tentang Pencipta yang juga sebagai Pentadbir kerana ia adalah kesan yang wujud dalam perasaan mereka sendiri setelah menyaksikan alam. Oleh itu, pelbagai bentuk perasaan yang timbul dalam perasaan mereka. Ada di kalangan mereka yang berasa takut kepada-Nya setelah melihat kejadian dahsyat (mengerikan) seperti gempa bumi dan banjir, ada juga yang berasa terharu melihat keindahan dan kebesaran yang wujud pada alam seperti ketinggian gunung-ganang menghijau dan keluasan lautan biru. Maka, bukanlah sesuatu yang menghairankan sekiranya semua itu telah mendorong manusia melakukan aktiviti pemujaan atau sembahyang kepada Penciptanya atau kepada bahagian-bahagian alam yang tertentu dan diyakini oleh mereka sebagai mempunyai kuasa pusat alam. Semua keadaan ini menunjukkan pemikiran masyarakat terdahulu sudah maju kerana berkeupayaan memikirkan kekuasaan yang ada di sebalik alam yang mereka saksikan. Persoalannya, adakah pemikiran dan perasaan kebanyakan masyarakat pada hari ini juga dikatakan serupa keadaannya dengan masyarakat terdahulu tersebut? Jika ini berlaku, sudah tentu alam sentiasa dihargai dan hormati oleh umat manusia dan tidak berlakunya krisis alam sekitar.

Untuk bacaan penuh, download SINI .

No comments: